Aku pernah berada di fasa hidup yang aku sendiri rasa lega.
Doktor sahkan aku bebas anxiety.
Aku berhenti ubat.Aku kembali jalani hidup macam biasa. Dan jujurnya, aku fikir,
“Okay, bab ni dah selesai.”
Tapi rupanya, aku silap. Bukan sebab aku lemah.Bukan sebab aku tak jaga diri. Tapi sebab kata-kata manusia.
Aku nak cakap terus terang, aku tak jatuh sebab satu ayat. Aku jatuh sebab ayat yang berulang-ulang. Nada yang sama. Cara yang sama. Ayat yang buat aku rasa kecil. Ayat yang buat aku persoalkan diri sendiri. Ayat yang sentuh keluarga aku. Perlahan-lahan, benda yang aku ingat dah sembuh, datang balik. Dan yang paling sakit, aku nampak “okay” di luar.
Aku kerja. Aku senyum. Aku buat rutin macam biasa. Tapi dalam kepala, aku bergaduh dengan diri sendiri hampir setiap hari. Dan ya, aku hampir bunuh diri aku.
Anxiety Yang Datang Semula Itu Lebih Menakutkan
Bila kau pernah sembuh, dan kemudian diuji semula, rasa dia lain. Kau akan salahkan diri sendiri.
“Kenapa aku jadi macam ni balik?”
“Kenapa aku tak kuat macam dulu?”
Padahal hakikatnya, jiwa pun ada had.
Aku sampai ke tahap penat sangat nak bertahan. Dan masa itu, aku sedar satu benda, kalau aku terus diam, aku mungkin tak ke mana.
Jangan Pendam Walaupun Pernah Disahkan Sihat
Aku buat keputusan untuk dapatkan bantuan semula. Bukan sebab aku kalah. Tapi sebab aku nak hidup.
Aku jumpa kaunselor. Aku serahkan semua bukti kata-kata yang aku simpan.
Bukan untuk buka aib sesiapa. Tapi untuk jujur dengan diri sendiri. Aku masih ingat reaksi tu, kaunselor hanya geleng kepala. Dan masa itu aku tahu,
aku memang perlukan sokongan
Keluarga Yang Tak Pernah Tinggalkan Aku
Keluarga aku bukan jenis pujuk dengan ayat manis. Tapi mereka jaga aku dengan cara mereka. Marah bila aku terperap dalam bilik. Paksa aku makan sampai berat badan aku naik balik. Tak pernah salahkan sesiapa.
Mak dan abah pula, ulang-alik dari Serting ke Senawang semata-mata nak pastikan aku tak berjuang seorang diri.
Kadang cinta tak datang dalam bentuk pelukan. Kadang ia datang dalam bentuk “kami takkan biarkan kau hilang.”
Dan anak penguat aku untuk terus hidup..
Tempat Kerja & Sahabat Yang Aku Syukuri
Aku juga sangat bersyukur dengan tempat kerja aku. Bos dan rakan-rakan tak pernah tahu cerita penuh, tapi mereka pilih untuk faham. Bila panic attack datang, mereka ada. Bila aku perlukan ruang, mereka beri.
Dan sahabat-sahabat aku, mereka tak tanya banyak. Tak paksa aku cerita. Tak judge. Mereka cuma ada. Dan masa itu, itu yang aku paling perlukan.
Untuk Kau Yang Sedang Membaca
Kalau kau pernah disahkan bebas anxiety, tolong jangan rasa kau kebal.
Kalau kau sedang diuji semula, tolong jangan rasa kau gagal. Dan kalau kau jenis suka bercakap ikut mulut sendiri,
aku harap kau sedar satu benda, kata-kata yang kau anggap biasa,
mungkin sedang merosakkan seseorang secara perlahan.
Aku tulis ni bukan untuk tuding jari.
Aku tulis sebab aku masih hidup. Dan aku tahu, di luar sana ada orang yang sedang bertahan dalam diam. Kalau kau salah seorang daripada mereka, kau tak keseorangan. Dan kalau kau perlukan bantuan, tolong jangan tunggu sampai terlambat.
Kesihatan mental bukan tentang siapa yang tidak pernah jatuh, tetapi siapa yang berani bangkit semula walaupun pernah sembuh.
Jika kata-kata mampu merosakkan,
biarlah empati menjadi warisan
yang menyelamatkan lebih ramai jiwa selepas ini.



0 Ulasan